KENYATAAN MEDIA
SINDIKET PENIPUAN DI DALAM URUSAN JUAL BELI TANAH
1. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa PTGS telah mengesan terdapat cubaan penipuan urusniaga tanah dengan memperdaya orang ramai yang menggunakan nama PTGS, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di Negeri Selangor sehingga melibatkan nama Dato’ Menteri Besar Selangor. Laporan Polis telah dibuat bagi kes-kes yang telah dikenalpasti agar tindakan tegas boleh diambil bagi sebarang penipuan jenayah ini.
2. Modus operandi yang digunakan ialah dengan penyamaran sebagai orang yang dilantik berurusan dengan PTGS dan mana-mana PDT. Pihak terbabit juga mengeluarkan notis untuk menjual hartanah dan telah memalsukan tandatangan pada notis tersebut. Terdapat juga pihak yang menggunakan nama pegawai-pegawai kanan dan tertinggi PTGS dan PDT yang masih berkhidmat mahupun telah berpencen dengan memberikan maklumat dan janji-janji palsu bagi urusan jual beli tanah.
3. Justeru, PTGS ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan dalam urusan jual beli hartanah. Terdapat pelbagai modus operandi atau faktor yang menjurus ke aras masalah penipuan ini berlaku sama ada melibatkan sindiket atau pun perseorangan.
4. Sehubungan dengan itu, pembeli yang berhasrat untuk memiliki hartanah dinasihatkan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa dalam penipuan ini. Di antara langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan tertipu ialah dengan memastikan perkara-perkara berikut :
i. Pastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah;
ii. Buat semakan berkaitan pemilikan (tuan punya tanah), no. hak milik/ no. lot/ no. mukim/ saiz keluasan tanah melalui carian di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) berkaitan atau PTGS;
iii. Semak sekatan kepentingan seperti kebenaran hak milik, kaveat dan cagaran/ gadaian;
iv. Pastikan wakil mempunyai Surat Kuasa Wakil yang sah;
v. Wujudkan perjanjian jual beli;
vi. Gunakan khidmat peguam yang sah;
vii. Gunakan khidmat agen hartanah yang berpengalaman; dan
viii. Jika boleh, sila berjumpa dengan tuan tanah untuk mendapatkan pengesahan.
5. Dengan ini, PTGS ingin menegaskan kepada orang awam bahawa PTGS tidak pernah melantik mana-mana individu mewakili Pentadbiran ini bagi sebarang urusan urusniaga hartanah.
6. PTGS ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan berhati-hati dengan taktik penipuan seumpama ini. Diharapkan orang ramai lebih berwaspada dengan taktik penipuan seumpama ini kerana kebanyakan mereka yang telah menjadi mangsa penipuan ini melibatkan jumlah kerugian kewangan yang besar dan agak sukar untuk mendapatkan kembali wang mereka jika telah menjadi mangsa. Sekali lagi, orang ramai wajar membuat semakan terlebih dahulu dengan PTGS atau mana-mana PDT bagi menggelakkan menjadi mangsa jual beli hartanah.
PEJABAT TANAH DAN GALIAN NEGERI SELANGOR
6 OKTOBER 2022
Sumber: PTG Selangor
Ulasan
Catat Ulasan