PENGGUNA yang terlibat dalam urusan jual beli atau sewa semua jenis hartanah digesa hanya berurusan dengan ejen hartanah berdaftar yang boleh dikenal pasti melalui tag pengenalan diri dikeluarkan Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia (BOVAEA) bermula 1 Mei 2014.
Presiden BOVAEA Datuk Abdul Hamid Abu Bakar berkata, satu proses pendaftaran ejen hartanah yang selesai pada 28 Februari lalu dibuat bagi mengurangkan jumlah ejen hartanah haram.
“Isu ejen tidak sah ini amat serius. Kami tidak ada jumlah tepat tetapi kami menerima banyak aduan dan apabila disiasat, didapati mereka tidak berdaftar,” katanya dalam sidang media semasa mengumumkan penggunaan tag pengenalan diri itu di Putrajaya, semalam.
Abdul Hamid yang juga Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di Kementerian Kewangan berkata, proses pendaftaran itu bermula pada Oktober 2013 dan sehingga kini, sebanyak 16,243 ejen hartanah telah didaftarkan di bawah 1,779 syarikat ejen hartanah berdaftar.
“Orang ramai kadang-kala tidak sedar mereka berurusan dengan ejen hartanah haram jadi pendaftaran ini dibuat bagi membantu orang awam mengenal pasti ejen berdaftar,” katanya.
Mengulas peranan BOVAEA dalam membantu pengguna, Abdul Hamid berkata, lembaga itu boleh mengambil tindakan seperti mengenakan denda terhadap ejen hartanah berdaftar jika menerima aduan pengguna.
“Namun pengguna juga perlu mengambil tindakan undang-undang ke atas ejen hartanah ini. Kami hanya boleh menasihati dan mengenakan denda kepada mereka (yang berdaftar).
"Tetapi bagi ejen tidak sah, kami tiada kuasa untuk buat apa-apa, dan akan serahkan aduan itu kepada polis," katanya.
Sementara itu, ahli lembaga pengarah BOVAEA Eric Lim berkata, pendaftaran itu membolehkan BOVAEA merekodkan aktiviti dan aduan ke atas setiap ejen hartanah.
“Orang ramai kini boleh membezakan ejen hartanah sah dan tidak sah. Sebelum ini, tiada pengenalan diri yang khusus untuk mengenal pasti ejen hartanah yang benar-benar sah,” katanya.
Menurut Lim, pengguna boleh memeriksa ketulenan tag pengenalan diri itu dengan mengimbas kod QR pada tag tersebut menggunakan telefon pintar masing-masing.
Katanya, setiap ejen hartanah juga selepas ini dikehendaki menyertakan nombor pendaftaran mereka dalam bahan promosi termasuk papan tanda iklan, iklan dalam media cetak dan digital.
Beliau berkata, di bawah Seksyen 30 Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981, individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Ulasan
Catat Ulasan